BEREGU campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Yin tewas mudah kepada beregu China.FOTO/NSTP
Ferzalfie Fauzi


IBARAT rusa masuk perangkap, itulah kesimpulan yang dapat digambarkan buat gandingan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying selepas tumpas mudah pada separuh akhir Terbuka Jepun di tangan beregu China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping, semalam.

Pada aksi di Musashino Forest Sport Plaza, Tokyo itu menyaksikan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio seakan-akan hilang arah apabila tumpas 10-21, 6-21.

Malah Liu Ying juga mengakui sendiri lawan mereka dilihat lebih bersedia dan mengkaji dengan mendalam bagaimana untuk meraih kemenangan kali kedua berturut-turut dalam tempoh seminggu.

“Hari ini (semalam) memang dapat rasakan mereka mengkaji permainan kami dengan lebih mendalam. Mereka beraksi dengan taktikal yang betul dan lebih konsisten berbanding di Terbuka Indonesia minggu lalu,” kata Liu Ying ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Ujar pemain dari Melaka itu, mereka tidak berpeluang langsung untuk melakukan serangan balas.

“Bagaimanapun, kami akan terus mempamerkan aksi terbaik untuk kejohanan selepas ini kerana sekarang semua pemain sedang berlumba-lumba memungut mata ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. Kalau kami bagi alasan penat, pasangan lain juga sama-sama penat,” katanya.

Minggu lalu pada separuh akhir Terbuka Indonesia, Peng Soon-Liu Ying tumpas 13-21, 20-22 dan ia kekalahan keempat mereka dalam enam pertemuan.

Selepas ini, pasangan nombor lima dunia itu akan beraksi pada Terbuka Thailand dan akan berdepan Satwiksairaj Rankireddy-Ashwini Ponnappa dari India pada pusingan pertama.

Kedudukan ranking ke Olimpik Tokyo 2020 pula menyaksikan Peng Soon-Liu Ying di tangga ke-11 dengan mengumpul 19,250 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 6:00 AM