Trak Renault F1 terbabas di Gyor. FOTO TWITTER
Trak Renault F1 terbabas di Gyor. FOTO TWITTER
Reuters

KEM Formula Satu (F1) Renault terus melalui detik mengecewakan selepas Grand Prix Jerman apabila salah satu trak mereka terbabas di Hungary, hari ini.

Trak terbabit dalam perjalanan ke Budapest untuk menghadapi perlumbaan seterusnya selepas berakhir saingan di Hockenheim.

Renault berkata pemandu trak terbabit terselamat daripada mengalami sebarang kecederan serius tetapi dikejarkan ke hospital selepas kepala trak terbabit terbabas di laluan lebuhraya berdekatan Gyor.

Pasukan itu bagaimanapun tidak memberikan sebarang keterangan mengenai kandungan dalam trak terbabit yang digunakan untuk perlumbaan di Eropah.

Hungary adalah perlumbaan selepas Jerman dengan segala peralatan dibawa serta-merta ke litar seterusnya.

Renault sudah tentu mahu melupakan pertarungan mereka di Hockenheim kerana gagal mendapat sebarang mata dan turun daripada tangga kelima kepada keenam dalam kedudukan.

Pemandu Australia, Daniel Ricciardo terkeluar awal akibat masalah ekzos manakala pemandu Jerman, Nico Hulkenberg yang berada di tempat kedua pada pertengahan perlumbaan terbabas keluar litar pada penghujung saingan.

“Kami tidak tahu hendak kata apa, saya dan pasukan tidak dapat mengekalkannya,” kata Hulkenberg selepas perlumbaan.

“Ia menyakitkan dan benar-benar mengecewakan.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 11:14 PM