BARCELONA tetapkan harga Umtiti RM275 juta. - FOTO Agensi
Agensi

MANCHESTER United dilaporkan mula membuka pintu rundingan bagi mendapatkan pertahanan Barcelona, Samuel Umtiti.

Pengurus, Ole Gunnar Solskjaer terpaksa mencari pemain lain selepas hasrat memiliki bintang Leicester City, Harry Maguire tidak kesampaian susulan harga £80 juta (RM401 juta) ditetapkan The Foxes tidak dipersetujui Red Devils.

Menurut akhbar Perancis, Le10sport, United kini mengidam khidmat Umtiti dan sedia berentap dengan Manchester City untuk mendapatkan tandatangannya.

Laporan menyebut United sedia membayar £46 juta (RM230 juta) untuk Umtiti walaupun Barcelona menetapkan harga £55 juta (RM275 juta).

Pertahanan tengah berusia 25 tahun itu hanya melakukan 14 penampilan aksi La Liga musim lalu selepas berehat lima bulan akibat kecederaan lutut.

Umtiti berpindah ke Barcelona dari Lyon pada 2016 dengan nilai £22.3 juta (RM111 juta) dan tampil dalam 97 perlawanan bersama kelab.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 1:04 PM