PEPE menandatangani kontrak lima tahun di Emirates. — FOTO arsenal.com
Reuters

ARSENAL mengikat penyerang Nicolas Pepe dari kelab Perancis, Lille dengan rekod yuran perpindahan kelab, umum kelab Liga Perdana Inggeris itu hari ini.

Butiran kewangan perpindahan itu tidak didedahkan namun media Britain melaporkan ia kira-kira £72 juta (RM362 juta), mengatasi £56 juta (RM282 juta) dibayar kepada Borussia Dortmund bagi membeli penyerang Pierre-Emerick Aubameyang tahun lalu.

“Nicolas seorang pemain sayap berbakat dan berharga yang dikehendaki banyak pasukan utama di Eropah,” kata pengurus Arsenal, Unai Emery dalam satu kenyataan.

“Mengikat pemain sayap bertaraf dunia menjadi satu daripada objektif utama kami pada jendela perpindahan kali ini dan saya gembira dia menyertai kami.”


PEPE turun menjalani latihan sulung bersama Gunners. — FOTO arsenal.com

Pemain kebangsaan Ivory Coast berusia 24 tahun itu menandatangani kontrak lima tahun dan akan menyarung jersi nombor 19 di kelab utara London itu.

Pepe, yang turut dikaitkan dengan beberapa kelab Eropah pada musim panas kali ini, menjaringkan 22 gol dalam Ligue 1 musim lalu – di tangga kedua di belakang penyerang Paris St Germain, Kylian Mbappe yang meledak 33 gol.

“Berada di sini amat mengujakan kerana ia tidak mudah buat saya,” kata Pepe. “Saya berdepan laluan berliku jadi menyertai kelab hebat ini satu ganjaran besar.”

Pepe adalah rekrut keempat Arsenal selepas kelab itu mengikat pemain sayap Brazil, Gabriel Martinelli, pemain tengah Dani Ceballos secara pinjaman dari Real Madrid dan pertahanan tengah William Saliba, yang kembali dipinjamkan ke St Etienne musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 12:46 AM