KELIBAT Casagrande sudah pasti menjadi tumpuan utama pertahanan Pahang.


SENTUHAN berbisa penyerang import Pulau Pinang, Anselmo Casagrande menjadi fokus utama Pahang apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Darul Makmur, malam esok.  Pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh berkata, ketajaman pemain Brazil yang mengetuai jentera serangan Harimau Kumbang memerlukan kubu Pahang tangkas bertahan jika tidak mahu dibolosi.  

"Awal musim ini, saya sudah melihat persembahan Casagrande ketika Pahang bertemu Melaka United sebelum dia berpindah ke Pulau Pinang pada jendela perpindahan kedua. 

"Ketika itu, dia tidak begitu berbisa tetapi persembahan bersama Pulau Pinang membuktikan bahawa kehadirannya perlu diawasi," katanya. 

Bagi memastikan Pahang mencatat kemenangan pada perlawanan pertama Kumpulan C, Dollah mengesahkan dua permata hitam, Dickson Nwakaeme dan Lazarus Kaimbi diberi tanggungjawab mengetuai jentera serangan. 

Katanya, sentuhan penyudah yang semakin menjadi dan persefahaman kedua penyerang itu sebelum saingan Liga Super berakhir sudah cukup melegakan. 

"Saya percaya Nwakaeme dan Kaimbi dapat memberi tekanan kepada pertahanan lawan bagi membantu pasukan mencatat kemenangan. 

"Dengan aksi pertama di tempat sendiri, ia peluang terbaik untuk Pahang mempamerkan aksi bertenaga dan seterusnya memulakan kempen Piala Malaysia dengan bergaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 12:24 PM