Thiem bersama trofi yang dimenangi pada Kejohanan Tenis Terbuka Generali di Kitzbuehel, Austria. FOTO AFP
AFP

PILIHAN utama dan pemain nombor empat dunia Dominic Thiem melakar kejuaraan ke-14 dalam karier dan pertama di gelanggang tanah airnya selepas mengalahkan pemain Sepanyol, Albert Ramos-Vinolas, 7-6 (7/0), 6-1 pada final Kejohanan Tenis Terbuka Generali di Kitzbuehel, awal pagi ini.

Ia kejuaraan ketiga dimenangi Thiem pada 2019 selepas memenangi kejohanan Masters di Indian Wells dan Barcelona ketika kemuncak saingan Roland Garros di mana dia menamatkan saingan di tempat kedua di belakang Rafael Nadal buat tahun kedua berturut-turut.

Thiem, yang tewas pada aksi final kepada David Goffin di Kitzbuhel pada 2014, menjadi pemain kedua dari Austria yang memenangi kejuaraan di negara sendiri selepas bekas pemain nombor satu dunia, Thomas Muster pada 1993.

Aksi seterusnya buat Thiem adalah kembali ke pertarungan gelanggang keras dan di Montreal Masters minggu depan dia diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan selepas Nadal serta tanpa kehadiran Novak Djokovic dan Roger Federer yang menarik diri.

Pemain berusia 25 tahun itu akan berdepan pemain yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir pada Montreal 2017 iaitu Denis Shapovalov atau pemain Perancis, Pierre-Hugues Herbert dalam perlawanan pembukaan Kejohanan Terbuka Kanada itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 9:29 AM