Nwakaeme (tengah) diasak pemain Pulau Pinang pada aksi Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, malam tadi. FOTO Farizul Hafiz Awang


PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh memuji semangat juang skuadnya bangkit daripada ketinggalan dan mencatat kemenangan 3-1 ke atas Pulau Pinang, malam tadi.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, kemenangan itu cukup bermakna dan menjadi penyuntik semangat untuk menghadapi perlawanan berikutnya.

"Bagi saya, pemain dan pasukan ini menunjukkan prestasi serta semangat yang menarik selepas dikejutkan gol pendahuluan lawan.

"Kita kuasai 70 peratus perlawanan dan hanya melakukan satu kesilapan yang membuka ruang kepada mereka (Pulau Pinang) memperoleh gol.

"Ini perlawanan pertama (saingan Piala Malaysia), saya puas hati dengan persembahan pemain dan saya mahu (corak permainan) kekal konsisten," katanya.

Pada perlawanan malam tadi, tiga gol Pahang, masing-masing satu dijaringkan oleh Dickson Nwakaeme pada minit ke-58, Mohamadou Sumareh (m-66) dan Muslim Ahmad (m-83) manakala gol tunggal Pulau Pinang dijaringkan Julian Bottaro (m-50).

Dollah juga optimis skuad Tok Gajah mampu melakar kejayaan dalam saingan Piala Malaysia, selepas kecewa dengan saingan Piala FA dan Liga Super.

Sementara itu, Pengendali Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abd Wahid pula berkata, kekalahan itu memadam misi Harimau Kumbang mencuri satu mata di tempat lawan namun dia mengakui tugas mereka sukar kerana lawan adalah pasukan bagus serta mempunyai kekuatan di bahagian serangan.

"Ini adalah perlawanan pertama dan bukanlah bermakna kami sudah berada dalam tekanan... bagi saya, ia adalah permulaan kepada pemain mendapatkan pengalaman.

"Mereka menampilkan aksi yang mantap sepanjang 60 minit perlawanan sebelum mula melakukan kesilapan dan kami terima kekalahan ini sebagai cabaran untuk berdepan perlawanan seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 11:26 AM