Wan Sukairi Wan Abdullah (empat kanan belakang) bersama pasukan juara beregu, ATM. FOTO NSTP/IMRAN MAKHZAN.
Wan Sukairi Wan Abdullah (empat kanan belakang) bersama pasukan juara beregu, ATM. FOTO NSTP/IMRAN MAKHZAN.
Malik Muhamad


ATM muncul juara kejohanan sepak takraw Piala Emas Khir Johari edisi ke-55 selepas menumbangkan musuh tradisi, PDRM 2-0 pada aksi di Stadium Negeri Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.

Kejayaan itu menyaksikan skuad ATM berjaya mencipta sejarah kali ke-12 menjuarai piala berprestij itu menyamai pencapaian pasukan Selangor dan Kuala Lumpur.

ATM menurunkan Muhamad Hairul Hazizi Haidhir (tekong), Muhamad Afifuddin Mohd Razali (perejam) dan Norfaizzul Abd Razak (apit kanan) serta dua pemain gantian, Tunku Noorazwari Tunku Ishak dan Mohd Asrie Isa menang dengan 'straight set' 21-16 dan 21- 17 ke atas regu PDRM.

PDRM diwakili Muhammad Syahmi Husin (tekong), Muhamad Syukri Hassan (perejam) dan Suhairi Sulaiman (apit Kiri) serta pemain gantian, Muhamad Hafizuddin Wahab (perejam) dan Muhamad Hisyammudin Mohd Nazri.

Tempat ketiga milik pasukan Negeri Sembilan yang menumpaskan juara edisi ke-54 musim lalu, Perak 2-1 yang berpuas hati di tempat keempat.

Tekong terbaik milik Muhammad Syahmi (PDRM); perejam terbaik, Muhamad Afifuddin (ATM), apit kiri terbaik Norfaizzul (ATM).

Jurulatih terbaik menjadi milik Mohd Khalid Alias (PDRM) dan Mejar Tajul Hisyam Mamat daripada ATM dipilih sebagai pengurus terbaik.

Selaku juara kejohanan itu, ATM membawa pulang hadiah wang RM5,000 berserta piala manakala PDRM meraih RM3,000; Negeri Sembilan RM2,000 dan Perak RM1,000.

Hadiah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Hadir Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 9:34 PM