FERRIS tagih sokongan padu penyokong di Paroi.
Mohd Amin Jalil


TIADA istilah patah semangat buat penyerang muda Negeri Sembilan, Ferris Danial Mat Nasir, biarpun jaringan dilakukannya gagal membantu pasukan meraih mata diperlukan untuk bersaing dalam kempen Kumpulan A, saingan Piala Malaysia, musim ini.

Pemain berusia 26 tahun itu menjaringkan gol tunggal Negeri Sembilan, namun tidak dapat membantu skuad berkenaan meraih mata selepas tewas 1-3 kepada Kedah, Sabtu lalu.

Dia akui terkilan namun tetap bersemangat untuk terus memperagakan aksi mantap bagi membantu skuad Jang kembali disegani dan dihormati.

"Memang rasa terkilan kerana tidak dapat membantu pasukan mendapatkan mata pada permulaan saingan Piala Malaysia. Kami tidak bernasib baik kerana banyak percubaan ke arah pintu gol lawan tidak tepati sasaran.

"Tapi, saya tidak akan putus asa untuk terus menjaringkan gol dan membantu pasukan mencapai kemenangan dan berharap dapat melakukannya lagi pada perlawanan kedua menentang PKNS FC di laman sendiri Rabu ini," katanya hari ini.

Ferris Danial yang memasuki musim kedua bersama skuad Hobin Jang Hobin berkata, pasukannya tidak beraksi dalam kempen merebut trofi berprestij itu musim lalu kerana tidak layak dan hanya bersaing dalam Piala Cabaran.

"Kami perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mencari kemenangan bagi mengelak pasukan terus tercicir sehingga menyukarkan laluan ke suku akhir," kata.

Ferris Danial yang dijangka terus dijadikan sandaran oleh pengendali Zaki Sheikh Ahmad di barisan depan berharap sokongan padu penyokong dan peminat setia membanjiri Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 10:11 PM