Aidil (tengah) jangka skuadnya berdepan tentangan sukar diberikan Terengganu. FOTO NSTP
Izzali Ismail


KETUA jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak menjangkakan skuadnya berdepan tentangan sukar pada perlawanan kedua kumpulan A Piala Malaysia menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Darul Aman, Alor Setar, esok.

Menurut Pengendali dari Singapura itu, misi memburu tiga mata di tempat sendiri tidak mudah kerana saingan Piala Malaysia lebih hebat berbanding aksi liga.

"Pemain import Terengganu seperti seperti Lee Tuck, Kipre Tchetche dan Sanjar Shaakhmedov menjadi ancaman kepada kubu Kedah.

"Kami perlu fokus sepanjang 90 minit untuk menghalang mereka mengutip tiga mata,” katanya di Alor Setar, hari ini.

Aidil memaklumkan dua pemain iaitu Azmeer Yusof dan David Rowley belum pulih kecederaan dialami dalam perlawanan sebelum ini.

"Jadi saya berharap sesiapa saja akan dipilih untuk berada kesebelasan utama dapat memberi aksi yang terbaik seperti yang dirancangkan.

"Saya berharap penyokong setia Kedah dapat memberi suntikan moral kepada pasukan dalam usaha meneruskan prestasi konsisten pasukan.

"Dua rekod pertemuan kami tahun ini menyaksikan Kedah menewaskan Terengganu FC 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman pada 12 April lalu.

“Kemudian kami seri 2-2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 9 Julai lalu”.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 5:27 PM