Khairul Idham akan jalani pembedahan kedua. FOTO Petronas SPRINTA Racing
Saiful Affendy Sapran


PELUMBA Moto2 negara, Khairul Idham Pawi sekali lagi terpaksa menangguhkan penampilan semulanya di saingan Kejohanan Motosikal Dunia kerana masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan tangan kanannya.

Pelumba yang mendapat gelaran Super KIP itu berkata, dia tidak akan beraksi pada Grand Prix (GP) Austria hujung minggu ini dan akan menjalani pembedahan kali kedua, Selasa depan.

"Semalam (kelmarin) saya berjumpa dengan doktor dan akan menjalani pembedahan memasukkan skru ke dalam jari Selasa ini. "Doktor memaklumkan saya mungkin boleh berlumba semula pada GP San Marino.

Itu pun jika jari saya dapat pulih sepenuhnya," katanya.

Pelumba PETRONAS Sprinta Racing itu cuba untuk beraksi kali pertama di GP Republik Czech minggu lalu selepas berehat selama enam pusingan berikutan kecederaan dialaminya semasa GP Sepanyol, Mei lalu.

Namun dia masih merasai kesakitan ketika sesi latihan bebas dan tempatnya ketika itu digantikan oleh Jonas Folger.

"Memang saya berusaha untuk berlumba di Brno tetapi rasa agak sakit sebab tulang di jari tak kuat lagi," katanya.

Perkembangan terbaru itu menyaksikan Khairul juga tidak akan beraksi di GP British 25 Ogos depan sebelum GP San Marino berlangsung pada 15 September.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 7:46 PM