PEMAIN JDT, Safawi Rasid (dua dari kanan) berebut bola dengan pemain UiTM FC, Muhd Nursalam Zainal Abidin di Stadium Tan Sri Hassan Yunos minggu lalu. -FOTO Hairul Anuar Rahim
Meor Riduwan Meor Ahmad


SEMANGAT juang tinggi dipamer kesebelasan UiTM FC sewaktu menentang Johor Darul Ta'zim tempoh hari menjadi azimat berharga ketika melayan kunjungan PKNP FC di Stadium UiTM, malam esok.

Ketua jurulatih UiTM FC, Ismail Zakaria berkata, sekalipun tewas persembahan meyakinkan pemainnya memberi keyakinan tiga mata penuh dalam genggaman.

Katanya, paling penting pemain bersungguh-sungguh, fokus dan mengekalkan disiplin serta mengikuti taktikal diarahkan untuk memberi saingan kepada PKNP FC.

"Saya sudah lihat perlawanan PKNP FC menentang PJ City, namun tidak nampak pasukan mereka begitu berbahaya. Mungkin kerana mereka turun ke Liga Perdana musim depan. Jadi saya tidak risau sangat.

"Bukan maksud kita sombong, tetapi tetap perlu berwaspada kerana mereka lebih berpengalaman daripada pemain saya. InsyaAllah saya yakin kita mampu raih tiga mata penuh," katanya dihubungi Arena Metro, hari ini.

Ismail berkata, ketika ini semua pemain kecuali Park Yongjun bebas daripada sebarang kecederaan dan bersedia untuk menghadapi perlawanan malam esok.

"Walaupun tanpa Park, kita ada pemain tempatan yang boleh mengisi tempatnya. Yang penting, pemain mahu bersungguh-sungguh sepanjang 90 minit perlawanan," katanya.

Skuad 'The Lion Troops' memburu kemenangan sulung dalam kempen Piala Malaysia 2019 bagi Kumpulan B selepas tewas kepada JDT 1-3, pada perlawanan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 8:15 PM