PERCUBAAN pemain import Kedah, Fernando Ortega (kanan) menerusi tandukan kencang ke gawang TFC di Stadium Darul Aman. - FOTO Sharul Hafiz Zam
Izzali Ismail


KEDAH gagal memanfaatkan kelebihan tempat sendiri apabila tewas 0-2 kepada Terengganu FC (TFC) dalam aksi kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Dua gol penyerang TFC, Kipre Tcheche di babak kedua menyentap ego Kedah selaku juara Piala FA musim ini.

Bagaimanapun, Kedah terlebih dahulu melakukan asakan bahaya melalui Jonatan Bauman pada awal permainan namun percubaannya tersasar ke kanan gawang TFC.

TFC turut mencemaskan kubu Lang Merah menerusi percubaan bahaya Lee Tuck pada minit ke-15 namun berjaya ditolak keluar pertahanan, Alif Yusof.

Kedah terus melakukan beberapa asakan bahaya ke kubu TFC namun penjaga gol TFC, Ilham Amirullah bertindak cemerlang menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.

Dalam kebuntuan hingga ke hujung babak pertama, TFC menerima kejutan apabila Ilham dilayangkan kad merah akibat melakukan terjahan bahaya keatas Farhan Roslan di luar kotak penalti.

Bermula babak kedua, TFC yang beraksi dengan 10 pemain dilihat lebih banyak bertahan sekali gus membuka ruang untuk Kedah menguasai ruang tengah selepas Aidil Sharin membuat pertukaran memasukkan pemain muda Fayadh Zulkifli menggantikan Farhan Roslan.

Bagaimanapun, TFC yang mendapat sepakan percuma pada minit ke-65 selepas LeeTuck dijatuhkan membuat kejutan apabila Tcheche menanduk masuk menewaskan Abdul Hadi untuk gol pembukaan.

Tcheche menambah kekecewaan Kedah pada minit ke-86 apabila pantas memanfaatkan kesilapan pertahanan Kedah untuk gol kedua TFC.

Keputusan 2-0 kekal hingga ke tamat perlawanan menyaksikan skuad Penyu pulang ceria membawa tiga mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 11:20 PM