MUHAMAD Hadi Fayyadh hampir setahun beraksi bersama Fagiano Okayama.
Daripada Firdaus Hashim di Okayama dan Jepun


SAHAM ‘budak baharu’ melonjak tinggi di bumi Jepun apabila tujuh pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) bakal membuat kejutan dengan menjalani pemilihan untuk beraksi di Liga Jepun (Liga-J) dalam tempoh terdekat ini.

Antara kelab yang dilaporkan berminat untuk menyunting pemain AMD adalah kelab divisyen satu Jepun (J1), Cerezo Osaka dan beberapa pasukan di J2 termasuk kelab Fagiano Okayama yang menempatkan penyerang skuad bawah 23 (B-23) negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak.

Perkembangan positif itu disahkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang sedang dalam rangka lawatan kerja ke kelab Fagiano Okayama.

Beliau turut menyertai perbincangan bersama wakil Liga-J dan Persatuan Bolasepak Jepun (JFA).

Hasil perbincangan bersama itu, tujuh nama pemain berbakat serta profil mereka akan diserahkan kepada JFA, hujung bulan ini sebelum mereka diuji beberapa kelab Liga-J.

“Saya sudah berbincang dengan AMD serta FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan hujung bulan ini FAM akan ke Jepun untuk serahkan profil pemain muda berbakat khususnya pemain AMD untuk beraksi di Liga-J.

“Saya sudah berbincang dengan pihak pengurusan JFA dan Liga-J untuk lihat bagaimana kami boleh bekerjasama bagi menambah jumlah pemain beraksi di Jepun. Ketika ini, Thailand sudah ada tujuh pemain kita, sementara di sini (Jepun), kita baru ada Hadi seorang saja,” katanya.

Selain Cerezo dan Fagiano, difahamkan tiga kelab lain bersedia menyediakan tempat buat tujuh pemain terbabit.

Jelas Syed Saddiq lagi, kejayaan Hadi menempatkan diri di negara Matahari Terbit itu turut mencuri perhatian JFA yang berbesar hati membuka pintu buat lebih ramai pemain muda dari Malaysia untuk beraksi di Liga-J.

“Hadi sudah membuktikan kemampuannya di J-2 selepas hampir setahun beraksi bersama Fagiano Okayama. Malah, dia juga berjaya mendapat pengiktirafan di Jepun seterusnya kita mahu pastikan jumlah berkenaan akan bertambah selepas ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 6:20 AM