HAIKARL
Firdaus Hashim


TONGGAK paling menyerlah dalam skuad Projek Impian ASEAN (ADP) 2019, Raja Muhammad Haikarl Raja Muhammad Zahari mengaku berjaya meraih pengalaman berguna sepanjang menyertai kem ADP kali ini.

Haikarl yang dipilih bersama empat lagi pemain bawah 15 (B-15) negara serta lima dari Thailand dan Myanmar, meraih pujian daripada barisan kejurulatihan kelab Liga Satu Jepun (J1), Cerezo Osaka apabila menguasai bahagian tengah dengan baik ketika menentang akademi Cerezo, Sabtu lalu.

Meskipun skuad ADP tewas 0-2, namun aksi tenang dan pantas pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu nyata memikat perhatian kelab J1 itu.

“Walaupun latihan di sini (Osaka) hanya selama dua hari, tapi banyak pengalaman baharu yang berjaya diraih. Saya mahu gunakan ilmu ini untuk membantu AMD dan pasukan negara sekiranya terpilih nanti.

“Antara perkara baru yang saya dapat di sini ialah mengenai corak permainan yang pantas termasuk ketika melakukan serangan.

“Malah, saya juga amat kagum dengan semangat juang pemain Jepun dan ia akan digunakan apabila balik ke Malaysia nanti,” katanya yang berasal dari Alor Setar, Kedah.

Terdahulu, dia bersama empat lagi rakan iaitu Muhammad Danial Haiqal Shaipol, Muhamad Afiq Norizan, Muhammad Farizzudin Adham Batcha dan Anas Nadawi Shaharudin terpilih untuk membintangi skuad ADP bersama lima lagi pemain Thailand dan Myanmar.

Sebagai rekod, ADP adalah program anjuran pengeluar minuman probiotik terkemuka, Yakult Malaysia Sdn. Bhd bersama kelab bola sepak Cerezo dan Stesen Televisyen Osaka bertujuan mencungkil bakat muda khususnya dari ASEAN bagi menjalani latihan dan beraksi menentang akademi Cerezo.

Bukan itu saja, platform berkenaan turut dijadikan medan buat kelab-kelab Jepun melihat dan menilai persembahan 15 pemain bertuah itu untuk diikat beraksi di negara Matahari Terbit berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 5:15 AM