VENUS melakukan servis ketika menentang Kiki di Mason, Ohio. - FOTO AFP
Reuters

BEKAS pemain nombor satu dunia Venus Williams berkata, dia mempamerkan permainan bijak ketika menewaskan juara bertahan, Kiki Bertens dari Belanda dengan tiga set pada pusingan kedua Masters Cincinnati, awal pagi tadi.

"Saya cuba tidak terlalu mengerah diri ini kerana saya memang boleh melakukannya. Tetapi tak juga selalu dapat mengawalnya,” kata Venus selepas menang 6-3, 3-6, 7-6(4). "Jadi saya berusaha beraksi dengan bijak daripada mengerah seluruh tenaga.”

Venus mendahului 3-0 pada set ketiga tetapi bergelut menamatkan perlawanan selepas melakukan beberapa kesilapan ketika mendahului 5-3. Bertens memanfaatkan peluang dengan bangkit 5-5 dan memaksa tie-break namun gagal bertahan apabila Venus mendahului 3-0 dan 6-2 sebelum mengesahkan kemenangan.

Pilihan ke-13 dari Jerman, Angelique Kerber turut tersingkir selepas tewas kepada pemain Estonia, Anett Kontaveit 6-7(7,) 2-6.

Belinda Bencis dari Switzerland terpaksa menarik diri selepas mengalami kecederaan jari kaki ketika menentang Victoria Azarenka pada kedudukan 4-6, 1-0.

Azarenka yang juga bekas pemain nombor satu dunia akan menentang Donna Vekic di pusingan kedua selepas pemain Croatia itu menewaskan pemain Czech, Katerina Siniakova 6-4 6-3.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 11:01 AM