Pemain UKM FC, Mohd Hafizi Amirudin mengasak pemain Terengganu FC II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO NSTP/ROZAINAH ZAKARIA
Malik Muhamad


JUARA Piala Cabaran edisi pertama musim lalu, Terengganu FC II (TFC II) dan naib juara, UKM FC berkongsi mata terikat 2-2 pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Pemain gantian, Faiz Hanif Adnan muncul watak pemusnah selepas meledak gol penyamaan pada m-88 sekali gus menghampakan hajat TFC II mengutip tiga mata.

Berakhir babak pertama, skuad The Turtles bimbingan bekas pemain kebangsaan, Tengku Hazman Raja Hassan memimpin perlawanan selepas berjaya meledak dua jaringan.

Gol pertama diperolehi menerusi sepakan penalti pemain import kelahiran Brazil, Bruno Suzuki m-20 mudah menewaskan penjaga gawang, Amin Faisal Mohd Saidi selepas bola terkena tangan pertahanan, K Reuben.

Sepuluh minit berselang, arkitek skuad TFC II, Dechi Marcel menambah gol kedua pasukannya menerusi rembatan menarik dari luar kotak penalti hasil permainan satu dua dengan bekas pemain Terengganu FC (TFC), Mohd Shahrul Aizad untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Sepanjang babak pertama, hanya dua percubaan tepat dimiliki skuad The Varsity Boys menerusi tandukan Milad Zanidpour m-10 sedikit tersasar dan rembatan lerek dalam kotak penalti Mohamad Faiz Sulaiman m-44 dinafikan penjaga gol, Mohd Shamirza Yusof.

Bagaimanapun usaha berterusan pelawat akhirnya membuahkan hasil apabila Zanidpour menyudahkan peluang terhidang menerusi rembatan dalam kotak penalti pada m-55 untuk merapatkan kedudukan 1-2.

TFC II diketuai Hasbullah Awang terlepas peluang menambah gol ketiga apabila tolakan Ahmad Takhiyuddin Roslan hasil hantaran Mohd Ashari Samsudin pada m-61 terkena palang sekali gus terselamat pintu gol pelawat.

Ketika perlawanan berbaki dua minit sebelum masa sebenar berakhir, Faiz Hanif bijak memanfaatkan peluang di depan gol apabila mudah menanduk masuk untuk menyamakan kedudukan 2-2 hingga tamat permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 11:21 PM