AKSI Joao Felix.
AFP

ATLETICO Madrid memulakan musim panas dengan kehilangan enam pemain terbaik mereka namun menamatkannya dengan keyakinan menggunung bahawa mereka boleh menewaskan Real Madrid atau Barcelona untuk menjulang La Liga, hasil prestasi menakjubkan ditunjukkan Joao Felix.

Diego Simeone diberi cabaran terbesar sejak mengendali kelab itu pada 2011 dengan pemergian sejumlah besar pemain berbakat termasuk bintangnya Antoine Griezmann malah membuat yang lain tertanya-tanya mampukah pasukan itu kembali menyengat.

Mereka kehilangan empat pertahanan dengan Filipe Luis dan Juanfran ke Brazil untuk menyertai Flamengo dan Sao Paulo, kapten mereka Diego Godin berpindah ke Inter Milan, dan bintang muda Lucas Hernandez disambar Bayern Munich.

Mereka juga kehilangan Rodri ke Manchester City selepas setahun di kelab itu, manakala pertelagahan di antara Atleti dan Barca berhubung perpindahan Griezmann meninggalkan kesan mendalam.

Tidak ramai menjangka kehadiran Griezmann dan pemain bernilai 75 juta euro (RM348.7 juta) Frenkie de Jong mampu menjadikan Barca lebih kuat, biarpun dengan prospek diberikan untuk mereka menang La Liga dengan kelebihan 11 mata tiga bulan lalu, Atletico nampaknya sudah menemui pengganti.

Felix yang beraksi selaku penyerang dengan nilai 120 juta euro (RM557.9 juta), meredakan kepedihan akibat pemergian pemain Perancis biarpun sebelum aksi kompetitif.

Pemain berusia 19 tahun itu menyerlah pada aksi pra-musim, menampilkan permainan terbaik ketika menentang Juventus dan rakan senegaranya Cristiano Ronaldo Ahad lalu di mana dia meledak satu gol dan membantu jaringan ketika menang 2-1 di Stockholm.

“Di mana saja anda letakkannya, dia berjaya membaca perlawanan dengan baik,” kata Simeone.

“Apa yang baik mengenainya adalah dia mahu belajar. Dalam hal ini, dia berjaya mengadaptasi dengan baik.”

Mario Hermoso, Kieran Trippier dan Renan Lodi terbukti pemain pertahanan yang baik manakala Marcos Llorente dari Real Madrid mampu menjadi selincah Rodri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 10:37 AM