Nur Amisha berada pada momentum terbaik. FOTO Bernard Radin
Mohd Hafizee Mohd Arop


PEMENANG pingat emas Kejohanan Muay Thai Dunia 2016, Nur Amisha Azrilrizal berjaya melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Muay Thai Asia Timur 2019 di Hong Kong, selepas menewaskan peninju Chinese Taipei hari ini.

Nur Amisha,17, yang bertanding dalam kategori wanita 51 kilogram (kg) berjaya menewaskan lawannya dengan keputusan Knockout (KO) pada pusingan kedua.

Kemenangan itu membolehkan Nur Amisha mengikut jejak langkah Mohammad Rifdean Masdor, 17, yang terlebih dahulu mara ke perlawanan akhir bagi kategori lelaki 48kg.

Kedua-dua peninju Muay Thai Perak dibimbing Ketua Jurulatih Perak, Bernard Radin itu bakal bertemu peninju tuan rumah dalam perlawanan akhir yang akan berlangsung esok.

Bernard ketika dihubungi berkata, dia berpuas hati dengan corak permainan ditampilkan Nur Amisha dan kedua-dua anak didiknya itu mengikut segala arahan diberikan dengan baik.

"Seperti saya katakan, saya tidak meletakkan sebarang sasaran kepada kedua-dua mereka (Nur Amisha dan Mohammad Rifdean) kerana hanya menganggap ini sebagai latihan persediaan sebelum Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia di Turki, bulan depan.

"Namun saya tidak terkejut sekiranya kedua-dua mereka berjaya memperoleh pingat emas kerana momentum mereka sangat baik ketika ini,” katanya yang kini berada di Hong Kong bagi kejohanan itu.

Bernard berkata, dia akan melakukan beberapa persiapan sebelum perlawanan akhir esok dan setakat ini gembira kerana kedua-dua anak didiknya tidak menghadapi sebarang kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 9:33 PM