DAVID Luiz gembira berada di Arsenal. FOTO REUTERS
Reuters

DAVID Luiz berkata dia memutuskan untuk meninggalkan Chelsea untuk menyertai pesaing Liga Perdana Inggeris Arsenal untuk mendapatkan cabaran berbeza selepas membuat ‘perbincangan jujur’ dengan pengurus Frank Lampard mengenai hala tuju kelab Stamford Bridge itu.

Luiz, 32, yang membuat perpindahan saat akhir untuk menyertai Arsenal di mana dia menandatangani kontrak baharu selepas tiga musim dalam penggal keduanya bersama Chelsea.

Dia membuat penampilan sulungnya bersama Arsenal hujung minggu lalu dengan kemenangan 2-1 ke atas Burnley di laman sendiri.

Ketika Chelsea menjalani penggantungan FIFA, polisi Lampard adalah membentuk pasukan dengan pemain lebih muda, memilih untuk menyenaraikan Andreas Christensen dan Kurt Zouma di bahagian bek tengah dalam dua perlawanan pertama liga.

“Semua orang tahu saya gembira di Chelsea dan menang banyak trofi di sana. Saya berbincang secara jujur dengan Lamps dan Lamps mempunyai idea berbeza untuk perancangannya tahun ini,” kata Luiz.

“Jadi cara terbaik untuk saya menghormati kelab adalah dengan berpindah, mencuba cabaran baharu dan memberikan beliau peluang melaksanakan kerjanya.

“Saya gembira berada di sini sejak hari pertama dan ketibaan saya dialu-alukan. Ia sebuah kelab yang besar dan saya mahu berada di sini, menyerlah di dalam dan luar padang.”

Luiz berkata dia sepatutnya kekal di Stamford Bridge di mana dia menandatangani kontrak lanjutan dua tahun pada akhir musim lalu selepas membantu kelab itu menduduki tangga ketiga liga tetapi memilih untuk mencari cabaran baharu.

“Saya seorang lelaki dengan cita-cita dan sebab itu saya berpindah,” kata Luiz.

“Saya mungkin memilih zon selesa dan mendapatkan wang dan tenang dengan apa yang ada tetapi saya sukakan cabaran dan perkara baharu dalam kehidupan.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 1:55 PM