SERENA membalas hantaran pemain Perancis, Pauline Parmentier di Auckland pada 3 Januari 2017. - FOTO Agensi
AFP

SERENA Williams mengumumkan dia akan memanaskan badan dengan menyertai Klasik Auckland sebelum menghadapi Terbuka Australia pada Januari tahun hadapan, kejohanan yang meninggalkan memori bercampur baur buat bintang veteran Amerika Syarikat itu.

Serena tewas mengejut pada pusingan kedua dalam penampilan tunggal di New Zealand pada 2017 dengan menyalahkan fakor cuaca punca kekalahannya.

Tetapi dia bangkit menjuarai Terbuka Australia sekali gus trofi kejohanan utama ke-23 miliknya yang mengatasi pencapaian Steffi Graf pada era Terbuka dengan 22.

Dia juga mengumumkan pertunangan dengan Alexis Ohanian ketika di New Zealand dan mengandung anak pertama ketika menyertai kejohanan itu.

Serena, 37 tahun yang kini menduduki ranking kelapan dunia mahu membuktikan kepada peminat di New Zealand apa boleh dilakukan di atas gelanggang.

"Ya...saya amat berharap dapat menjuarai kejohanan itu,” katanya dalam satu kenyataan awal pagi tadi.

"Kali terakhir di sana, saya berdepan masalah angin. Walaupun saya menang aksi pertama tetapi saya gagal bermain pada tahap sebenar selepas itu.”

Serena kini memburu gelaran ke-24 Grand Slam sejak kejayaan di Melbourne Park pada 2017 bagi menyamai rekod bekas pemain Australia, Margaret Court.

Dia kini bergelut masalah belakang menjelang Terbuka Amerika Syarikat yang memaksanya menarik diri daripada kejohanan pemanas badan di Toronto dan Cincinnatti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 11:06 AM