SKUAD ragbi B-18 negara bersama trofi kejohanan. - FOTO asiarugby.com
BERNAMA

KOMITMEN tinggi dan kerjasama ditunjukkan pemain merupakan kunci kejayaan skuad Bawah-18 negara mempertahankan gelaran juara Kejohanan Ragbi tujuh sebelah (7s) Asia pada Ahad lepas.

Ketua jurulatih, Wan Norsyahmi Wan Daud berkata, pemain beraksi cemerlang dan bangkit semula selepas ketinggalan 0-10 pada separuh masa pertama bagi mencatat kemenangan 14-10 ke atas tuan rumah, China di Kunming.

“Apabila ketinggalan, kami melakukan pertukaran taktikal dan ia terbukti berjaya. Para pemain bermain bersungguh-sungguh dan bersemangat tinggi untuk memastikan kejayaan menjadi milik kami,” katanya kepada BERNAMA selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) malam tadi.

Terdahulu, ketibaan mereka disambut Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Wan Norsyahmi turut menyambut baik pengumuman Syed Saddiq bahawa skuad berkenaan akan menerima ganjaran berbentuk program pembangunan untuk latihan dan penyertaan lebih banyak kejohanan.

Sementara itu, kapten pasukan, Muhamad Faiq Aslah Mohd Satar berkata, saingan kali ini sebagai juara bertahan lebih sukar berbanding tahun lalu apabila Malaysia menjadi tuan rumah kejohanan itu.

“Pada tahun ini, hanya tiga pemain dari tahun lepas kekal manakala sembilan lagi pemain merupakan pemain baharu yang dipilih menerusi kejohanan tempatan. Ditambah dengan negara lain yang menghantar pasukan yang kuat, terutamanya China. Cabaran yang dihadapi memang sengit.

“Semua pemain dalam pasukan ini berbakat dan beri komitmen serta kerjasama tinggi. Saya berharap supaya kami tidak berpecah dan terus membantu negara meningkatkan sukan ragbi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 11:36 AM