BALOTELLI bersama Presiden Brescia, Massimo Cellino (L) ketika sidang akhbar di Brescia, Itali. - FOTO EPA
AFP

MARIO Balotelli berkata, dia tidak terfikir perkara lain selepas mendapat tawaran Brescia, kelab di bandar tempatnya membesar.

"Saya pilih Brescia kerana ketika tawaran itu datang, saya tak terfikir benda lain,” katanya ketika sidang akhbar, awal pagi tadi. "Di sini, apa saya perlukan ada kerana ia kelab di bandar saya.”

Balotelli dilahirkan di Palermo tetapi dibesarkan di Brescia, utara Itali dan mempunyai apartmen di sana.

Kelab itu kembali beraksi di Serie A tahun ini selepas tersingkir pada 2011.

"Saya menghabiskan banyak masa di luar negara daripada di Itali,” kata Balotelli yang ketiadaan kelab selepas kontrak jangka pendeknya bersama Marseille tamat penghujung musim lalu. “Ibu saya menangis apabila dapat tahu saya mahu kembali ke Brescia, dia sangat gembira.”

"Bapa pula memang berharap saya kembali ‘balik ‘kampung’. Saya tak gentar. Sasaran utama ialah dengan melonjakkan pencapaian kelab. Saya fikir anda yang takut,” katanya lagi.

Pemain berusia 29 tahun itu mempunyai 36 kap bersama Itali tetapi hanya sekali sejak 2014 dan dia berharap dipanggil semula menyarung jersi Azzurri.

Balotelli yang perlu melengkapkan hukuman gantung empat perlawanan selepas menerima kad merah ketika bersama Marseille tidak boleh beraksi sehingga pusingan kelima Serie A pada 25 September ketika Brescia menentang juara, Juventus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 12:03 PM