JURULATIH Che Zul Hanapi (tengah) bergambar bersama piala serta pemain pasukan bola sepak kurang upaya di Alor Setar, hari ini. — FOTO Sharul Hafiz Zam
Noorazura Abdul Rahman


PEMAIN skuad bola sepak kurang upaya negara yang menjuarai Kejohanan Antarabangsa Khas Olimpik di Chennai, India, awal bulan lalu menerima insentif RM500 setiap seorang.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, insentif itu sebagai penghargaan kepada pemain daripada Persatuan Olimpik Khas Kedah.

Katanya, walaupun jumlah itu tidak banyak, namun ia diharap dapat memberi semangat dan dorongan kepada atlet yang berjaya mengharumkan nama negara, sekali gus membuktikan orang kurang upaya (OKU) juga mampu bersaing.

“Skuad ini terdiri daripada lapan individu dikategori sebagai ketidakupayaan intelek dan seorang daripadanya mengalami masalah pendengaran, namun mereka tidak pernah menjadikan kekurangan sebagai penghalang untuk berjaya.

“Mereka menunjukkan semangat kesukanan tinggi dan ini kejayaan bersama semua pihak termasuk atlet, jurulatih dan pengurusan. Kami harap mereka dapat terus melakar kejayaan pada kejohanan akan datang,” katanya pada majlis penghargaan di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

Pada kejohanan dari 2 hingga 8 Ogos lalu, skuad itu meraih emas selepas menewaskan Korea Selatan 7-2.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 9:26 PM