The Speedy Jantan tidak pertahan pingat emas pada Sukan SEA. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


RAJA pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan tidak akan mempertahankan emas yang dimenanginya dua tahun lalu di temasya Sukan SEA Filipina November ini.

Perkara itu disahkan oleh jurulatihnya Mohd Poad Md Kassim yang mengatakan pelari yang dikenali dengan julukan The Speedy Jantan itu hanya akan beraksi dalam acara 4x100 meter.

Khairul Hafiz terpaksa melupakan impian itu selepas catatan yang tidak memberangsangkan tahun ini dan gagal melepasi syarat kelayakan secara merit.

Atlet berusia 21 tahun dari Melaka itu kini berada di ranking ketiga terbaik dengan catatan 10.50 saat di belakang Jonathan Nyepa 10.37s diikuti Muhammad Zulfiqar Ismail (10.41s).

Bagaimanapun Poad berkata, beliau berharap orang ramai memahami situasi pemegang rekod kebangsaan dalam acara 100m itu dan tidak terus mempersoalkan prestasinya yang merudum selepas tujuh bulan tidak beraksi kerana kecederaan.

Ia kerana tidak mudah buat seorang pelari untuk bangkit semula dalam tempoh yang singkat selepas terpaksa berehat panjang.

"Orang tidak tahu apa maksud baru pulih. Tapi walaupun baru pulih dia berjaya mencatatkan 10.50s dan itu sudah dikira terbaik.

"Jadi saya mahu Khairul Hafiz fokus untuk acara berganti-ganti saja," katanya.

Berdasarkan situasi dan kedudukan ranking ketika ini, cabaran negara dalam acara 100m bakal di galas oleh Jonathan dan Zulfiqar.

Dua tahun lalu Khairul Hafiz menamatkan penantian emas 14 tahun Malaysia dalam acara pecut 100m di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas mencatat 10.38s, mengatasi pemenang emas Singapura 2015 dari Filipina, Eric Cray (10.43s).

Catatan peribadi terbaik yang juga rekod kebangsaan milik Khairul Hafiz adalah 10.18 saat (s) yang dicipta pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA), Sarawak pada Julai 2016.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 6:19 PM