Devan (kiri) beraksi ketika menentang FELDA United. FOTO NSTP
Nazri Abu Bakar


PENJARING dua gol Melaka, Deevan Raj ketika menewaskan FELDA United 3-1 di Jengka minggu lalu terus menjadi taruhan jurulatih, Zainal Abidin Hassan ketika melayan lawan sama di Stadium Hang Jebat, malam esok.

Dengan prestasi semakin memberangsangkan pastinya ketajaman penyudah pemain kelahiran Perak itu adalah jawapan terbaik buat Melaka bagi memburu mata maksimum di laman sendiri.

Zainal berkata, pemain terbabit diakui mempamerkan sentuhan berbisa pada aksi di Jengka, justeru prestasi sama atau lebih baik dituntut untuk aksi kali ini.

Katanya, Deevan membuktikan keupayaannya ketika masuk sebagai penyerang gantian ketika bertemu Selangor dua minggu lalu namun beberapa percubaan bahayanya tidak menghasilkan jaringan.

"Saya mahu dia konsisten. Tidak menjaringkan gol bukan bermakna kurang baik kerana memecah benteng lawan, melakukan hantaran untuk rakan menjaringkan gol juga membantu.

"Selain itu keupayaan semua pemain termasuk Luka Milunovic, Patrick Reichelt, Nazrin Nawi serta Safiq Rahim juga mampu membuka ruang mencipta jaringan," katanya.

Baginya, mana-mana pemain turut berpeluang menghadiahkan jaringan.

Zainal berkemungkinan besar mengekalkan kesebelasan pertama menewaskan The Fighters.

Kehadiran semula Saiful Ridzuwan Selamat dan Shukor Adan yang pulih kecederaan akan dinilai untuk memperkuat pasukan.

Melaka kini berada di tangga teratas Kumpulan D diikuti Selangor manakala PDRM dan FELDA ditempat ketiga dan keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 4:33 PM