ERIKSEN (kanan) bersaing dengan penjaring gol Newcastle, Joelinton di Stadium Tottenham Hotspur, awal pagi tadi. — FOTO EPA
Reuters

BOS Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino mempertahankan keputusannya mengetepikan Christian Eriksen daripada kesebelasan utama apabila kalah 0-1 di tangan Newcastle United awal pagi tadi ketika masa depan perancang tengah dari Denmark itu masih tidak menentu.

Eriksen, yang masih berbaki setahun dalam kontraknya dan dilaporkan berada dalam radar Real Madrid, hanya masuk pada minit ke-62 namun tidak mampu menghalang Tottenham daripada mengalami kekalahan pertama mereka musim ini.

Pochettino berkata, beliau tidak pasti sama ada pemain berusia 27 tahun itu akan bermain buat Spurs lagi namun tidak berasakan keputusan meletakkan pemain itu di bangku simpanan awal pagi tadi menjadi kunci utama kekalahan itu.

“Apabila anda tewas, pemain yang beraksi tidak berada pada tahap terbaik,” kata Pochettino.


POCHETTINO (tengah) mempertahankan kesebelasan utama pilihannya. — FOTO Reuters

“Bersama Christian kami menang dan kalah banyak perlawanan. Jika kami menang 3-0... tiada siapa bercakap mengenai pemain tertentu.”

Eriksen, yang menyertai Tottenham dari Ajax Amsterdam pada 2013, antara tonggak utama pasukan yang muncul naib juara Liga Juara-Juara selepas kalah di tangan Liverpool dan menghuni tangga keempat Liga Perdana Inggeris musim lalu.

Ketika jendela perpindahan bagi liga utama Inggeris sudah ditutup, pasaran liga utama Eropah masih dibuka termasuk Sepanyol dan Jerman hingga 2 September ini.

“Saya tidak boleh mencari alasan mengenai jendela perpindahan yang masih dibuka menjadi penyebab kepada persembahan atau keputusan,” kata Pochettino.

“Ia bukannya satu situasi mudah. Kami sedar perkara ini tidak menyenangkan pemain tapi kami sedar dalam tempoh 10 hari ia akan berakhir (apabila jendela perpindahan ditutup) dan semuanya akan jelas.”

Spurs akan berkunjung ke kelab musuh ketat London, Arsenal Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 1:42 PM