Jelius (kiri) dan Ismail masih belum angkat bendera putih. FOTO NSTP
Meor Riduwan Meor Ahmad


DUA pasukan Liga Perdana, Sabah dan UiTM FC nekad tidak memberi laluan mudah kepada lawan masing-masing sekalipun sudah boleh mengangkat 'bendera putih' dalam kempen Piala Malaysia 2019.

Berbaki dua perlawanan peringkat kumpulan, kedua-dua pasukan menghuni tangga tercorot kumpulan B dan C berikutan belum meraih kemenangan dalam empat perlawanan.

Ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating berkata, pasukannya memandang serius baki dua perlawanan menentang Pulau Pinang pada 14 September dan Perak (18 September).

Katanya, biarpun sedar pasukannya memerlukan keajaiban selepas tewas kepada lawan sama pada perlawanan awal, dia tetap berharap untuk mencuri tiga mata.

"Walaupun hanya ada dua perlawanan lagi kami tetap mengambil serius dan akan bermain bersungguh-sungguh untuk menang.

Ini penting demi menjaga maruah pasukan dan reputasi selaku juara Liga Perdana 2019.

"Ia peluang terbaik untuk meraih mata apabila bermain di tempat sendiri dan saya berharap kami dapat guna sebaiknya.

"Tempoh rehat agak panjang beri kelebihan untuk memulihkan semula moral dan keyakinan pemain selepas empat kekalahan dialami," katanya dihubungi Arena Metro, hari ini.

Jelius berkata, berdasarkan kualiti dalam kempen Piala Malaysia, pasukannya memberi persembahan yang baik, namun nasib tidak menyebelahi mereka.

"Mungkin satu kelemahan kami adalah penyudahan yang tumpul sedangkan kami mencipta banyak peluang.

"Diharap pemain dapat belajar untuk persaingan yang lebih sukar pada musim depan dalam Liga Super," katanya.

Pengendali UiTM FC, Ismail Zakaria juga senada dan mahu pemainnya mencuri sekurang-kurangnya satu atau dua mata bertemu PKNP FC di Manjung dan Johor Darul Ta'azim di Shah Alam.

Katanya, sememangnya dia menjangkakan pasukannya akan berdepan laluan sukar di Piala Malaysia kerana hampir semua pemain pertama kali beraksi di Liga Perdana dan sukar menyaingi pasukan berpengalaman dalam Liga Super.

"Untuk baki dua perlawanan ini saya mengharapkan pemain bermain sehabis baik, sekurang-kurangnya dapat curi satu atau dua mata serta membuktikan kualiti pasukan untuk beraksi musim depan.

"Jelas ada jurang besar dari segi pengalaman antara pemain saya dengan pemain lain dalam pasukan utama.

"Dari segi kudrat dan semangat hampir sama, cuma pengalaman kurang menyebabkan pemain saya gugup walaupun ada banyak peluang jaringkan gol seperti ketika bertemu PKNP FC sebelum ini," katanya berharap kempen Piala Malaysia menjadi tempat pemainnya menimba pengalaman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 3:16 PM