PEMAIN Kelantan, Mohamad Khairul Rizam dihalang pemain Sarawak, Nor Azizi Ramlee dalam saingan Kumpulan A, Piala Cabaran di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu.
Attirmidzie Rahman


KELANTAN menempah laluan sukar untuk layak ke separuh akhir apabila tewas 0-2 dengan Sarawak pada saingan Piala Cabaran di  Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini. 

Sepanjang 10 minit pertama, aksi kedua-dua pasukan agak hambar dengan bola banyak berlegar di bahagian tengah sebelum tuan rumah membuat ancaman ke gawang Sarawak menerusi Fauzi Rozlan dan Imran Samso pada minit ke-11 dan 17 namun sedikit tersasar.

Bagaimanapun, tuan rumah tersentak seketika apabila pelawat berjaya mencipta jaringan pendahuluan pada minit ke-28 hasil sepakan penjuru Pedro Henrique Dias disempurnakan Hudson Jesus dengan tandukan deras tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan penjaga gol, Mohammad Fikri Che Soh.

Pada penghujung babak pertama, rembatan kencang penyerang The Red Warriors (TRW), Nik Azli Nik Alias dinafikan penjaga gol Sarawak, Shaiful Wazizi Mohamad.

Bersambung babak kedua, skuad Bujang Senang  mencipta gol kedua menerusi rembatan deras Zahrul Nizwan Joekifli pada minit ke-53 hasil hantaran lintang Abdul Rahman Ismawi di dalam kawasan penalti.

TRW terus melakukan serangan demi serangan namun gagal diterjemahkan kepada jaringan, kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 12:05 AM