SYAHMI tak sabar pamer aksi cemerlang bersama Harimau Malaya. foto AFF
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Misi Syahmi Safari adalah meraih slot bek kanan dalam kesebelasan utama biarpun menyedari dirinya bakal dicabar tonggak berpengalaman, Matthew Davies di posisi itu.

Bagi pemain Selangor itu, saingan ketika ini sangat sengit dengan masing-masing memiliki kelebihan untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama menentang Indonesia dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno, 5 September ini.

Walaupun tampak sukar, dia menganggap ia satu proses sihat dan positif untuk berusaha dan bertindak cemerlang sekali gus membantu kemenangan pasukan negara pada aksi terbabit.

“Rasanya satu saingan yang sihat. Kalau kita tengokkan Matt (Matthew Davies) pernah beraksi dengan skuad kebangsaan sebelum ini.

“Pengalaman dia lebih banyak dan setakat ini saya rasa ini persaingan sihat untuk kami rebut tempat,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Bolassepak Kuala Lumpur di Cheras, di sini, semalam.

Syahmi, 21, yang membantu skuad Harimau Malaya muncul naib juara Piala AFF penghujung tahun lalu tidak disenaraikan ketika aksi pusingan pertama kelayakan Piala Dunia menentang Timor Leste sebelum ini susulan ditimpa kecederaan bersama Selangor.

Tempatnya diisi oleh Davies yang kemudiannya memperagakan aksi menarik sekali gus memberi pilihan tambahan buat Cheng Hoe di bahagian pertahanan ketika ini.

“Rasanya tak ada masalah sebab sekarang saya dah pulih dan cergas sepenuhnya. Saya akan cuba berikan terbaik dengan bagi 100 peratus dan segala-galanya terserah kepada jurulatih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 5:30 AM