DANIEL ketika berlatih bersama skuad Harimau Malaya di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur. — FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
DANIEL ketika berlatih bersama skuad Harimau Malaya di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur. — FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
BERNAMA

PEMAIN tengah FELDA United, Daniel Amier Norhisham mengintai tempat dalam skuad Harimau Malaya selepas kembali pulih daripada kecederaan keretakan tulang kaki kanan yang dialaminya tiga bulan lalu.

Pemain berusia 22 tahun itu yang lebih mesra dengan panggilan Boy dalam kalangan rakan sepasukan mengakui, dia agak kecewa kerana terpaksa diketepikan terutamanya bagi panggilan skuad B-23 sebelum ini susulan kecederaan.

Sehubungan itu, dia bertekad untuk mempamerkan aksi cemerlang pada sesi latihan pusat skuad Harimau Malaya ketika ini untuk memastikan namanya disenarai dalam kelompok 23 pemain ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 awal bulan depan.

“Alhamdulillah, kehadiran Boy diterima baik oleh rakan sepasukan terutama pemain senior yang banyak menolong Boy sejak bermulanya sesi latihan skuad kebangsaan, Ahad lalu.

“Selepas mendapat panggilan jurulatih Tan Cheng Hoe susulan prestasi cemerlang bersama FELDA United, jadi Boy mahu memberi persembahan lebih baik lagi bersama pasukan kebangsaan,” katanya hari ini.

Pada masa sama, Daniel mengakui pengalaman membantu FELDA United kekal dalam saingan Liga Super musim depan, menjadi azimat terbaik buatnya menemui kembali sentuhan cemerlang di pentas antarabangsa.

“Ramai tahu beberapa pemain senior FELDA United meninggalkan pasukan, jadi Boy ambil tanggungjawab yang diletakkan oleh jurulatih (Nidzam Jamil) untuk membantu pasukan kekal dalam Liga Super,” katanya yang gembira kerana disenaraikan buat julung kali bersama skuad kebangsaan.

Nama Daniel mula meniti di bibir penyokong bola sepak tempatan selepas menjaringkan gol tunggal ketika Malaysia menewaskan Arab Saudi 1-0 pada Kejuaraan B-23 AFC di China tahun lalu, sekali gus membantu Malaysia melakar sejarah mara hingga ke suku akhir buat julung kali.

Cheng Hoe akan menggugurkan empat pemain daripada senarai 27 pemain ketika ini selepas aksi pemanas badan menentang Jordan di Stadium Nasional, Bukit Jalil Jumaat ini.

Perlawanan pemanas badan itu adalah sebagai persediaan berdepan Indonesia pada aksi pembukaan Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 5 September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 1:19 PM