NADAL membalas pukulan Millman pada pusingan pertama Terbuka AS, pagi tadi. — FOTO AFP
AFP

RAFAEL Nadal mendedahkan dia menawarkan Andy Murray botnya di Mallorca, yang mana pemain Scotland ittu beraksi pada kejohanan tahap dua Cabaran sebagai sebahagian daripada kemunculan semulanya susulan pembedahan pinggul.

Pemain Sepanyol itu melangkah ke pusingan kedua Terbuka AS dengan kemenangan 6-3, 6-2, 6-2 ke atas pemain nombor 60 dunia dari Australia, John Millman pada hari sama Murray menang aksi perseorangan keduanya pada satu kejohanan yang menggunakan nama Nadal.

“Saya amat gembira Andy Murray bermain di sana,” kata Nadal. “Ia satu berita hebat buat kami, sudah tentu, tapi buatnya dan dunia sukan ia juga berita hebat dan saya mengucapkannya selamat berjaya.

“Saya menghantar mesej kepadanya beberapa hari lalu menyatakan, “Jika anda perlu apa-apa, beritahu saya. Anda mahu bersiar-siar dengan bot atau apa saja, saya boleh bantu anda, hanya beritahu saya.”


MURRAY mengembalikan bola menentang Gombos pada Terbuka Rafa Nadal di Akademi Rafa Nadal, Manacor, dekat Mallorca. — FOTO EPA

Murray, yang beraksi pada sirkit Cabaran buat kali pertama dalam tempoh 14 tahun, mengalahkan pemain ranking ke-115, Norbert Gombos dari Slovakia 6-3, 6-4 pada kejohanan yang digunakannya untuk mengembalikan sentuhan dalam acara perseorangan.

Nadal memburu kejuaraan keempat Terbuka AS dalam tempoh dua minggu ini dan berdepan seorang lagi pemain Australia, Thanasi Kokkinakis pada pusingan kedua selepas memerlukan hanya dua jam untuk menyingkirkan Millman, pemain yang mengejutkan Roger Federer pada pusingan 16 terakhir di sini tahun lalu.

“Saya gembira dengan cara saya melakar kemenangan malam ini. Ia permulaan bagus,” kata Nadal.

“Amat istimewa untuk kembali bermain pada sesi malam di Stadium Arthur Ashe. Permulaannya, perlawanan pertama sering kali sesuatu yang agak baru sekalipun saya sudah banyak kali bermain di sini.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 1:58 PM