Hernandez sertai Sevilla selama tiga tahun. FOTO REUTERS
AFP

PENYERANG Mexico Javier Hernandez menyertai Sevilla daripada West Ham dengan kontrak selama tiga tahun, umum kelab Sepanyol itu, hari ini.

“Sevilla FC dan West Ham United mencapai persetujuan untuk perpindahan Javier Hernandez yang dikenali sebagai ‘Chicharito’,” tulis Sevilla dalam kenyataan.

“Penyerang terbabit menandatangani kontrak selama tiga tahun.”

Prospek Hernandez beraksi bersama West Ham semakin merudum selepas kelab itu membawa masuk Sebastien Haller dari Eintracht Frankfurt pada Julai lalu.

Kontrak pemain berusia 31 tahun itu tinggal tidak sampai setahun bersama kelab London itu.

“Kelab mahu mengucapkan terima kasih kepada Chicharito terhadap sumbangannya dan mengucapkan selama berjaya terhadap karier masa depannya,” menurut kenyataan dikeluarkan oeh West Ham.

Hernandez yang pernah beraksi bersama Manchester United dan Leverkusen adalah penjaring terbanyak Mexico sepanjang zaman dengan 51 gol dalam 108 penampilan.

Hernandez kembali ke La Liga di mana dia beraksi untuk Real Madrid pada musim 2014-15.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 7:24 PM