REBIC bersama jersi kelab baharunya, awal pagi tadi. — FOTO Twitter AC Milan
Reuters

AC Milan mengikat penyerang Croatia, Ante Rebic secara pinjaman dari Eintracht Frankfurt dengan pemain Portugal, Andre Silva berpindah ke kelab Jerman itu, menurut kelab Serie A itu awal pagi tadi.

Milan adalah kelab keenam buat Rebic, yang baru berusia 25 tahun, dan kelab ketiganya di Itali selepas beraksi dengan Fiorentina dan Verona sebelum ini.

Dia menjaringkan sembilan gol dalam 38 penampilan bagi semua pertandingan buat Eintracht musim lalu. Dia turut bermain bersama Croatia pada Piala Dunia tahun lalu apabila mereka muncul naib juara.

Milan mengikat Silva, 23, dari FC Porto dua tahun lalu dengan harga kira-kira 40 juta euro (RM185 juta) namun dia hanya menjaringkan dua gol dalam 24 penampilan Serie A pada musim sulungnya di Itali.


SILVA (kanan) melakukan percubaan ketika menentang Brescia, Sabtu lalu. — FOTO AFP

Dia menghabiskan musim lalu secara pinjaman di Sevilla yang mana dia meledak sembilan gol dalam 27 perlawanan namun mengalami kecederaan lutut menjelang hujung kempen. Ia turut menyebabkannya terlepas aksi final Liga Negara Eropah bersama Portugal.

Dia mempunyai purata jaringan lebih mengagumkan di peringkat antarabangsa dengan 15 gol dalam 33 penampilan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 12:49 PM