Nazri Abu Bakar


PASUKAN dari Hong Kong, Brunei , Sabah dan Sarawak antara yang bakal bersaing merebut Piala Datuk Soh Chin Aun di Stadium Hang Tuah, 21 September ini.

Pengerusi kejohanan, Dino Tan berkata, pasukan lain termasuk dari Singapura, Johor ,Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka terdiri daripada bekas pemain kebangsaan dan veteran.

Menurutnya, kejohanan kali kelima anjuran kelab Lagenda FC menyaksikan juara bakal membawa pulang RM4,000 dan naib juara RM2,500 sementara juara plate meraih RM1,000 dan naib juara RM500.

"Antara bakal beraksi termasuk Datuk Santokh Singh, Wong Kou Fou, Khalid Ali, Samsurin Abd Rahman dan beberapa pemain yang pernah melakar kejayaan gemilang bersama skuad negara.

"Malah ini kesempatan terbaik untuk peminat menyaksikan Chin Aun yang juga juga bekas pemain skuad Olimpik negara 1972 dan 1980 beraksi pada saingan terbabit, "katanya. Presiden kelab berkenaan Datuk Gary Choo berkata, sempena kejohanan berkenaan turut diadakan perlawanan persahabatan antara Lagenda FC dan kelab jemputan Huaren FC," katanya.

Menurutnya, kejohanan bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dan perpaduan kaum selain menyokong program bola sepak negara.

Katanya, antara yang bakal hadir termasuk bekas pemain bola sepak 50-an Robert Choe dan bekas pemain yang sudah tidak aktif atas faktor kesihatan.

Lebih menarik antara yang dijangka turut beraksi termasuk bekas pemain negara 1980-an Ramli Junit, , Ching Hong Aik, Shahrin Majid, M Chandran, Azmil Azali dan Karim Pin.

Justeru kejohanan terbabit lebih kepada pentas pertemuan otai bola sepak yang banyak menyumbang kepada pembangunan bola sepak negara dan meraih kejayaan besar di pentas antarabangsa pada masa lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 5:49 PM