SKUAD futsal negara bergambar di Pusat Sukan Qingbaijang, Chengdu City.
Meor Riduwan Meor Ahmad


SKUAD futsal lelaki kebangsaan mudah mengatasi Mexico, 9-2 dalam kejohanan jemputan empat penjuru ‘The Belt and Road Cup CFA International Futsal Tournament 2019’ di Pusat Sukan Qingbaijang, Chengdu City, China hari ini.

Ketua jurulatih, Chiew Chun Yong berkata, beliau kagum dengan semangat dan persembahan bertenaga diperagakan pemainnya dalam menyaingi pasukan di ranking ke-45 dunia itu. Katanya, Mexico memiliki kelebihan dari segi fizikal dan kepantasan namun kemenangan memihak skuad negara hasil tumpuan 100 peratus diberikan pemainnya.

"Atas kertas dan realitinya pasukan Mexico ini jauh lebih hebat berbanding pasukan negara di ranking ke-54 dunia.

"Namun, pemain saya mengambil cabaran dan peluang ini untuk membuktikan kehebatan. Saya kagum dengan fokus pemain kita sepanjang perlawanan," katanya ketika dihubungi Arena Metro, sebentar tadi.

Menurut Chiew, Mexico memberikan cabaran kuat terutama pada separuh masa kedua dengan bermain agak agresif sekali gus memaksanya melakukan beberapa pertukaran.

"Saya lega pemain bermain dengan tumpuan yang baik dan mengikut arahan sehingga tamat permainan. Kemenangan ini memberi semangat untuk perlawanan seterusnya menentang tuan rumah, China, jam 7 malam (waktu Malaysia) esok (Ahad) dan Myanmar (Isnin).

Kejohanan jemputan empat penjuru itu antara persiapan awal bagi menghadapi Kejuaraan Futsal AFF 2019 di Ho Chi Minh City, Vietnam dari 21 hingga 27 Oktober depan.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Australia, Indonesia dan Myanmar manakala Kumpulan A dibarisi tuan rumah, Vietnam bersama juara bertahan, Thailand, Kemboja dan Timor-Leste.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 5:54 PM