Malik Muhamad

LITAR basah kerana hujan tidak menghalang penyanyi popular tanah air, Wany Hasrita yang beraksi dalam kelas selebriti menjuarai perlumbaan kedua pusingan pertama musim ketiga kejohanan Toyota Gazoo Racing Festival dan Cabaran Perlumbaan Toyota Vios, di Perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Gong Badak, petang tadi

Pemenang Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian 2018 itu yang mendapat tempat keenam pada perlumbaan pertama semalam mencuri tumpuan dengan mengetepikan cabaran penyanyi, Nabila Razali yang berpuas hati di tempat kedua.

Manakala pelakon, Syukri Yahaya yang menduduki tempat kedua pada perlumbaan pertama semalam sekadar meraih petak ketiga.

"Pencapaian ini paling manis selepas kali kedua menyertai perlumbaan yang begitu mencabar ini, lebih-lebih lagi perlumbaan pertama semalam saya berada di tempat keenam," ujar Wany.

Juara musim pertama, Shawn Lee yang menduduki petak pertama perlumbaan pertama semalam hanya meraih tempat keempat manakala juara musim kedua yang juga aktres terkenal, Diana Danielle sekadar berpuas hati di tempat kelima.

Turut beraksi dalam kelas selebriti itu Khai Bahar, pengacara terkenal, Nabil Ahmad, pelakon Janna Nick, Syafiq Kyle dan Ain Edruce.

Bagi saingan kelas utama iaitu Super Sporting, pelumba daripada Toyotsu Racing, William Ho muncul pemenang dengan mengetepikan pelumba Telagamas Toyota, Freddie Ang di tempat kedua manakala pelumba pasukan Kegani Racing, Kenny Lee meraih tempat ketiga.

Bagi kelas amatur iaitu sporting, pelumba daripada pasukan S&D Motorsports, Hayden Haikal berjaya memperbaiki kedudukan daripada tempat keempat pada perlumbaan pertama semalam apabila muncul juara pada hari kedua.

Mengekori rapat pelumba itu ialah Wong Chin Eeg daripada pasukan Hiewa Racing Team yang merangkul tempat kedua manakala juara perlumbaan pertama semalam, Kenneth Koh daripada pasukan Panglima City Racing Team berada di kedudukan ketiga.

Perlumbaan pusingan kedua akan berlangsung di Kuala Lumpur pada November depan.


GAYA menarik Wany Hasrita di atas keretanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 8:32 PM
WANY Hasrita (kiri) bersama Nabila Razali selepas tamat perlumbaan. - FOTO Ghazali Kori