MOHD Norza (tengah) bersama Pasukan Floorball Lelaki Pulau Pinang yang menjuarai Piala Merdeka Peringkat Kebangsaan, kelmarin.
Ferzalfie Fauzi


SELEPAS terlepas peluang untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia 2019, skuad floorball wanita dicabar untuk membawa pulang emas di Sukan SEA Manila.

Cabaran itu dibuat Presiden Persatuan Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berdasarkan prestasi semasa dan pencapaian menduduki tempat ketiga di Sukan SEA Singapura 2015.

Menurut Presiden Persatuan Floorball Malaysia, Rizal Mohd Razman, mereka sebelum ini mempunyai sasaran tersendiri iaitu minimum meraih gangsa dalam kedua-dua kategori lelaki dan wanita.

“Ia satu cabaran buat kami. Pasukan wanita memang lebih kuat manakala keupayaan antara negara lain juga lebih kurang sama,” katanya ketika ditemui di Kejohanan Floorball Kebangsaan merebut Piala Merdeka, kelmarin.

Ujar Rizal, kekuatan pasukan wanita di rantau ini memang tidak ada beza dan Januari lalu, mereka terlepas peluang untuk ke Kejohanan Dunia selepas kalah menerusi jaringan sudden death ketika aksi separuh akhir menentang Thailand di peringkat kelayakan Asia-Oceania.

“Bagaimanapun, pencabar utama kita untuk skuad lelaki pula ialah Singapura. Dalam masa sama, Thailand juga tidak kurang hebatnya dengan kehadiran pemain import.

“Mereka mempunyai pemain yang berpangkalan dan bermain di liga divisyen dua Sweden.

“Filipina juga sudah mula mengikut jejak langkah mereka dengan membawa masuk tiga wakil import,” katanya.

Sementara itu, Norza yakin bahawa kedua-dua skuad lelaki dan wanita mampu untuk menaiki podium di temasya dwitahunan itu nanti.

“Pasukan dari kategori B seperti floorball harus menunjukkan semangat tinggi. Mereka harus membuatkan negara bangga, bukannya pergi sebagai penumpang saja,” katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 6:00 AM