EMIL Forsberg meraikan gol penyamaan ketika Sweden seri 1-1 Scandinavia Norway. FOTO Agensi
EMIL Forsberg meraikan gol penyamaan ketika Sweden seri 1-1 Scandinavia Norway. FOTO Agensi
Reuters

PEMAIN sayap Emil Forsberg meledak gol penyamaan pada separuh masa kedua untuk meraih satu mata buat Sweden apabila mereka bangkit untuk seri 1-1 dengan pasukan tetangga Scandinavia Norway dalam aksi kelayakan Euro 2020 di Stockholm awal pagi tadi.

Skuad Sweden menguasai perlawanan hampir separuh masa pertama namun pasukan pelawat mendahului sebelum tamat separuh masa apabila Andreas Granqvist melakukan kesilapan dengan melakukan hantaran lemah kepada Victor Lindelof.

Bola yang tidak dikawal itu segera dirampas Joshua King, yang meluru ke hadapan sebelum melorongkannya kepada Martin Odegaard.

Pemain tengah muda itu kemudiannya menghantar bola itu kepada kapten Norway Stefan Johansen, yang mudah melakukan penyudah.

Forsberg yang diberi tugas di bahagian tengah pada separuh masa kedua mula mencorakkan serangan Sweden dan meledak jaringan penyamaan sejam selepas perlawanan.

Semangat aksi derby dalam perlawanan itu dilihat menerusi terjahan keras dan permainan kasar ketika pasukan pelawat terus bertahan dengan menyedari satu mata akan membolehkan mereka terus memburu mata kelayakan.

Dengan keenam-enam pasukan beraksi dalam enam perlawanan, Sepanyol mendahului kumpulan dengan mata maksimum 18 selepas menang 4-0 ke atas Faroe Islands, dengan Sweden di tangga kedua dengan 11 mata, Romania di tangga ketiga dengan 10 mata dan Norway ketinggalan satu mata.

Norway menanti kunjungan Sepanyol pada 12 Oktober dengan pendahulu kumpulan itu berkunjung ke Stockholm tiga hari kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 1:09 PM