Norza (tiga dari kiri) bersama pemenang Kejohanan Boling SAM.
Ferzalfie Fauzi


PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria menjelaskan akan mengadakan perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai Syakilla Salni Jefry Krishnan.

Menurut Norza, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail bagi melihat perkara sebenar berkaitan atlet karate negara itu.

“Kita akan selesaikan perkara ini secepat mungkin ini kerana Syakilla adalah sandaran kita di Sukan Olimpik Tokyo 2020,” katanya kepada media di Kejohanan Boling Persatuan Penulis-Penulis Sukan (SAM), di Kuala Lumpur, hari ini.

Syakilla dibatalkan penyertaan di Kejohanan Liga Perdana K1 di Tokyo 6 hingga 8 September lalu di Jepun selepas tidak dapat menepati berat badan kategori 55 kilogram kumite.

Dalam pada itu, Norza berasa lega dengan perkembangan yang ditunjukkan atlet angkat berat selepas ujian doping mengejut mendapati lima atlet kebangsaan negatif.

“Saya menyokong penuh acara angkat berat dimasukkan ke dalam Sukan Malaysia (SUKMA).

“Ini kerana apa saja yang berlaku beberapa tahun dulu hanya membabitkan segelintir atlet saja dan ia tidak boleh dijadikan alasan serta memberi impak negatif pembangunan sukan berkenaan.

“Sebagai Presiden MOM saya menyokong penuh agar acara ini dipertandingkan di SUKMA Johor tahun depan,” katanya.

Lima atlet angkat berat yang menjalani ujian pada 31 Julai itu ialah atlet senior, Muhammad Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad, Muhammad Aznil Bidin, Muhammad Erry Hidayat, Mohd Yusoff Nandong dan Nur Atikah Mahamad Sobri.

Sukan angkat berat sebelum ini berstatus 'KIV’ (simpan dalam perhatian) untuk temasya SUKMA di Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 8:27 PM