Mohd Hafizee Mohd Arop


PERWATAKAN seorang wira Muay Thai jelas dapat dilihat sebaik jaguh remaja negara, Mohamad Rifdean Masdor memasuki gelanggang bagi menghadapi lawannya di setiap kejohanan disertai.

Namun di sebalik perwatakan itu, jelas atlet berusia 17 tahun yang dikenali dengan panggilan Dean atau Masidor dalam kalangan peninju Muay Thai itu mempunyai perwatakan berbeza di luar gelanggang.

Remaja kelahiran Kuching, Sarawak, yang menempa nama sebagai atlet Perak selepas bakatnya dikesan ketua jurulatih Muay Thai Perak yang juga bekas jurulatih Muay Thai kebangsaan, Bernard Radin itu mempunyai hobi tersendiri di waktu lapang.

Sesuai dengan sukan diceburinya yang memerlukan lagak tangkas seperti seekor ayam jantan, Dean mempunyai hobi membela ayam pada waktu lapang yang dipeliharanya di kawasan lapang di Pusat Latihan Muay Thai Perak di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, di sini.

Menurut Rifdean, dia kini mempunyai 10 ekor ayam dengan enam daripadanya adalah ayam jantan, manakala selebihnya ayam betina dan kebanyakan ayam itu dipeliharanya sejak kecil.

“Waktu lapang ketika lepas sekolah atau tiada latihan, memang rutin saya akan memberi ayam makan, memandikan mereka serta bermain sebelum dimasukkan semula ke dalam reban yang dibuat.

“Memang itu hobi saya sejak kecil dan jurulatih (Bernard) yang kini menjaga saya tidak pernah menghalang minat saya itu, sebab itu saya masih memelihara ayam sekarang,” katanya yang ditemui di pusat latihan berkenaan.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek di sini, itu turut mempunyai impian untuk bergelar pemenang pingat emas Olimpik sekiranya sukan Muay Thai dipertandingkan di temasya itu satu masa nanti.

Menurut Rifdean, ketika ini dia sibuk membahagikan masa antara pelajaran dan sukan memandangkan akan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini serta Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia di Turki, bulan depan.

“Saya ketika ini giat menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih bagi menghadapi beberapa siri kejohanan lagi dan pada masa sama turut fokus terhadap pelajaran supaya dapat lulus dalam semua mata pelajaran.

“Kejohanan terdekat ini adalah Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia 2019 di Turki dan persiapan sedang dilakukan, saya berharap akan berjaya memperoleh pingat emas dalam kejohanan itu nanti,” katanya yang baru saja memenangi pingat emas bagi kategori 48 kilogram (kg) di Kejohanan Muay Thai Asia Timur di Hong Kong.

Selain kejohanan itu, Rifdean juga bakal beraksi dalam Sukan SEA 2019 di Filipina, November ini dan menjadi prospek emas negara bersama juara Muay Thai dunia 2016, Nur Amisha Azrilrizal.

Ditanya jadualnya setiap hari, Rifdean yang tinggal di pusat latihan berkenaan bersama beberapa pelatih lain berkata, rutin hariannya bermula dengan latihan awal pagi, ke sekolah, latihan petang dan belajar pada waktu malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 10:25 AM
BERNARD (kiri) pada sesi latihan bersama Dean.
LATIHAN Muay Thai dilakukan pada sebelah petang selepas sesi persekolahan.
DEAN memandikan ayam jantan peliharaannya.