Nizam (kiri) serta Elavarasan intai slot ke suku akhir. FOTO NSTP


PENGENDALI Felda United FC, Mohd Nidzam Jamil mengakui perebutan dua slot suku akhir dalam Kumpulan D Piala Malaysia kian sengit dan menarik.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, kemenangan 1-0 The Fighters ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) malam tadi, menghidupkan peluang berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik.

"Saya bersyukur dan gembira kerana semua pemain memberikan segalanya untuk memastikan kami mengutip tiga mata di laman sendiri.

"Kejayaan ini juga menyaksikan perebutan dua slot suku akhir lebih menarik dan perlawanan terakhir peringkat kumpulan akan menjadi penentu," katanya.

GOl tunggal perlawanan itu dijaringkan oleh pemain tengah Felda United, S Chanturu m-60 untuk mengesahkan kelab itu mengutip tiga mata.

Dalam saingan Kumpulan D, Selangor, Melaka United dan Felda United, masing-masing mengutip tujuh mata manakala PDRM, lima mata.

Pengendali The Cops, E Elavarasan berkata, skuadnya tidak bernasib baik untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.

Katanya, ketumpulan jentera serangan menyebabkan misi mengutip mata tidak kesampaian.

"Bagi saya, tuan rumah lebih bernasib baik kerana menghasilkan gol dan pada masa sama pertahanan mereka kekal bertahan hingga tamat perlawanan.

"Walaupun tewas, peluang kami masih lagi terbuka mengisi slot suku akhir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 3:08 PM