Syakilla gagal sertai pertandingan disebabkan berat badan. FOTO NSTP
Iskandar Shah Mohamed


PERSEKUTUAN Karate Malaysia (Makaf) sentiasa bersedia 'duduk semeja' dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi membincangkan isu mengenai ratu karate negara, Syakilla Salni Jefry Krishnan.

Timbalan Presidennya, Vincent Chen berkata, pihaknya menyerahkan kepada kedua-dua badan induk sukan negara itu untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi isu berkenaan.

"Perkara itu belum dibincangkan dalam mesyuarat di peringkat Makaf namun kami bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan MOM dan MSN sekiranya diperlukan.

"Saya berasakan lebih adil sekiranya sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan kami selepas sesi perbincangan berkenaan," katanya ketika ditemui pada Kejohanan Terbuka Makaf Karate Kadet, Junior dan Bawah 21 tahun Kebangsaan di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Serdang Jaya, hari ini.

Kejohanan kali ke-29 itu dirasmikan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Adi Faizal Ahmad Tarmizi dan turut dihadiri Presiden Karate-Do Selangor, M Panaeerselvam.

Syakilla, 27, dilaporkan berdepan masalah berat badan sejak tahun lalu hingga terpaksa menarik diri daripada beberapa kejohanan termasuk yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Bekas jaguh nombor satu dunia itu turut gagal menyertai Kejohanan Liga Perdana K1 di Jepun pada 6 hingga 8 September lalu selepas tidak menepati berat badan kategori 55 kilogram (kg) kumite.

Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria menyatakan mahu mengadakan perbincangan dengan MSN bagi menyelesaikan isu itu kerana Syakilla masih dianggap harapan Malaysia untuk meraih pingat dalam Sukan Olimpik.

Kata Vincent, isu mengenai Syakilla timbul sejak lebih 10 bulan lalu dan bukan hanya membabitkan Makaf.

"Isu sudah lama dan segala perkara berkaitan penyertaan Syakilla dalam kontinjen negara juga seharusnya dirujuk kepada MOM dan MSN," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 4:37 PM