Ferris mahu Negeri Sembilan fokus buru kemenangan di Alor Setar. FOTO NSTP
Mohd Amin Jalil


MUHAMMAD Ferris Danial Mat Nasir enggan memikirkan peluang Negeri Sembilan ke peringkat suku akhir Piala Malaysia musim ini, biarpun dia berjaya membantu pasukan itu menewaskan PKNS FC 3-1 di Stadium Shah Alam.

Penyerang berusia 27 tahun sedar misi pasukannya ke peringkat saingan kalah mati itu dilihat mustahil kerana perlu menewaskan Kedah dengan jaringan besar pada aksi terakhir Kumpulan A, di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Selasa ini.

Katanya, dia berpuas hati kerana menjaringkan gol dan membantu pasukan menewaskan PKNS, kelmarin.

"Memang kemenangan itu dapat membuka peluang ke suku akhir, namun dengan kejayaan Kedah menewaskan Terengganu FC (TFC) laluan kami menjadi sukar kerana perlu menang ke atas Kedah dengan jaringan yang besar.

"TFC yang menduduki tangga kedua carta ketika ini dengan kutipan sembilan mata dilihat memiliki kelebihan berbanding kami yang setakat ini hanya mengumpul enam mata.

"Apapun, kami akan turun ke Alor Setar dengan berbekalkan semangat dan kesungguhan tinggi bagi membalas kekalahan dialami di laman sendiri sebelum ini tanpa memikirkan peluang sama ada layak ke suku akhir atau sebaliknya," katanya di Seremban, hari ini.

Negeri Sembilan yang menduduki tangga ketiga carta perlu menewaskan Kedah dengan sekurang-kurangnya enam gol untuk mengenepikan TFC, sesuatu yang dilihat sukar dilakukan skuad bimbingan Zaki Sheikh Ahmad itu.

Bagi Ferris Danial, fokusnya meneruskan persembahan terbaik dan menjaringkan gol pada perlawanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 5:33 PM