Chanturu (23) mahu ledak jaringan bertemu Red Giants. FOTO NSTP


PEMAIN tengah Felda United FC, S Chanturu yang muncul wira selepas menjaringkan gol kemenangan ketika membenam Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahu mengulanginya apabila bertemu Selangor, Rabu ini.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, perlawanan terakhir Kumpulan D diharap memihak kepada The Fighters untuk mengisi slot suku akhir Piala Malaysia.

"Kami mengharapkan aksi lebih padu dapat dipersembahkan di tempat sendiri apabila berdepan Selangor yang turun dengan misi sama.

"Kemenangan ke atas The Cops Sabtu lalu banyak membantu dan meningkatkan motivasi kami untuk mengakhiri perlawanan terakhir peringkat kumpulan dengan mengutip tiga mata.

"Kelebihan beraksi di laman sendiri turut diharap memberi kemenangan sekali gus membawa Felda United ke saingan suku akhir," katanya.

Chanturu menjaringkan dua gol dalam saingan Piala Malaysia mengharapkan persefahaman lebih mantap bersama rakan sepasukan.

Dia juga menjangkakan saingan sengit bakal dihadapi kelab itu kerana kedua-dua pasukan mahu meneruskan saingan ke peringkat tertinggi.

"Oleh itu, kami akan melakukan yang terbaik dan sokongan peminat diharap membawa The Fighters melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia musim ini," katanya.

Dalam saingan Kumpulan D, Selangor, Melaka United dan Felda United, masing-masing mengutip tujuh mata manakala PDRM pula lima mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 3:50 PM