SARRI berdepan tugas getir dalam kempen Liga Juara-Juara. - FOTO Agensi
AFP

JUVENTUS yang beraksi tanpa kendalian Maurizio Sarri hanya mampu seri tanpa jaringan menentang Fiorentina Ahad lalu dan ia bukanlah keputusan diharapkan menjelang kunjungan ke Sepanyol dalam kempen Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini.

Juara Itali 35 kali itu melantik Sarri bagi menamatkan kemarau trofi Eropah menerusi gaya bola sepak berbeza selain berbelanja besar mendapatkan pemenang lima Ballon d'Or, Cristiano Ronaldo dari Real Madrid musim lalu.

Bekas kapten Ajax, Matthijs de Ligt ditandatangani musim ini dan kedua-dua kelab itu menyingkirkan Juve dari saingan Eropah sejak dua musim lalu.

Minggu pertama Sarri dibayangi radang paru-paru dan skuadnya berdepan tugas getir dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid.

"Kami memerlukan masa membiasakan mereka dengan rentak perlawanan,” akui Sarri selepas tamat aksi menentang Fiorentina.

"Kami belum lagi berada di kemuncak fizikal.”

Kumpulan D turut mengandungi Bayer Leverkusen dan Lokomotiv Moscow yang pastinya menjanjikan sengit kepada Juventus untuk menjulang trofi ketiga selepas 1985 dan 1996.

Pelantikan Sarri menggantikan Massimiliano Allegri yang menjuarai Serie A lima musim terakhir agak mengejutkan.

Bekas pengendali Napoli itu menjulang trofi kali pertama dalam tempoh 30 tahun karier pengurusannya ketika bersama Chelsea yang mengungguli Liga Europa musim lalu.

Allegri menerima akibat selepas hanya mampu membawa finalis Liga Juara-Juara sebanyak tujuh kali itu muncul naib juara 2015 dan 2017.

Pengurusan kelab pula mahu Juve tampil dengan gaya permainan lebih menarik dalam usaha memikat lebih ramai penyokong di luar Itali.

Namun ketika mereka memburu gelaran Eropah, ‘musuh’ di Itali semakin mengorak langkah. Skuad Antonio Conte, Inter Milan mula memberi amaran apabila menduduki tangga teratas dengan sembilan mata daripada tiga perlawanan manakala Juve ketinggalan dua mata di belakang.

Seperti di Chelsea, Sarri perlu masa bagi membiasakan pemain Juve dengan pendekatannya.

"Kami di peringkat di mana penggiliran adalah sukar kerana kami masih mencari identiti dan struktur,” kata Sarri.

Selain kepulangan Gianluigi Buffon dari Paris Saint-Germain, kebanyakan pemain ditandatangani Juve musim ini terdiri daripada pemain muda.

Pertahanan Belanda, de Ligt, 19, dibeli dengan harga 75 juta euro (RM345 juta) selain rakan seposisi, Danilo dan Merih Demiral.

Jentera tengah mereka juga diperkuatkan dengan kehadiran bekas pemain PSG, Adrien Rabiot dan bekas bintang, Arsenal Aaron Ramsey.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 11:17 AM