REAKSI Simeone ketika sidang akhbar di Madrid. - FOTO EPA
Reuters

JURULATIH Atletico Madrid, Diego Simeone menyifatkan penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo sebagai ‘haiwan’ penjaring gol menjelang aksi Liga Juara Juara Kumpulan D di tempat sendiri awal pagi esok.

Ronaldo sudah 25 kali menembusi gawang Atletico dalam 33 perlawanan dan memainkan peranan utama penyingkiran skuad Simeone musim lalu dengan meledak hatrik ketika menang 3-0 dalam saingan 16 terakhir.

"Cristiano adalah haiwan di depan gol, dia sentiasa bahaya pada bila-bila masa apabila berada di kawasan itu,” kata Simeone ketika sidang akhbar awal pagi tadi.

Bagaimanapun, beliau turut menyanjung kemampuan bintang Portugal itu yang kerap mengecewakan pasukannya sepanjang sembilan tahun ketika bersama Real Madrid.

Ronaldo menjadi pemusnah Atletico dalam kempen Liga Juara-Juara pada peringkat kalah mati 2014 dan final 2016 selain menyingkirkan mereka tahun lalu pada musim pertama bersama Juventus.

"Dia sangat sukar dikawal kerana dia mempunyai semuanya. Tangkas di udara, kawalan bola yang baik dan mampu melepasi halangan dengan mudah dan mempunyai rembatan berbisa,” kata jurulatih dari Argentina itu.

"Kami sengsara dibuatnya sebelum ini tetapi kami juga pernah menang ke atasnya.”

Pertahanan Atletico, Jose Gimenez berkata, kunci utama melemahkan Ronaldo ialah menghadkan pergerakan bola daripada sampai ke kakinya.

"Semakin kurang dia menyentuh bola, lagi baik. Jadi kami akan cuba dan menguasai bahagian tengah.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 11:10 AM