EMERY (kanan) dan Ozil ketika sesi latihan di St Albans, Britain, semalam.
Reuters

PENGURUS Arsenal, Unai Emery merehatkan Mesut Ozil dan pertahanan tengah, Sokratis Papastathopoulos bagi menentang Eintracht Frankfurt dalam aksi Liga Europa, awal pagi esok.

Ozil diturunkan kali pertama musim ini dan beraksi 71 minit ketika seri 2-2 di Watford, Ahad lalu tetapi Emery berkata pemain tengah Jerman itu bakal direhatkan menjelang perlawanan menentang Aston Villa dalam aksi Liga Perdana, Ahad ini.

"Sokratis dan Mesut direhatkan. Kami akan bermain satu lagi aksi pada Ahad ini,” kata Emery kepada wartawan. "Aksi pertama Ozil pada Ahad lalu bagus dengan kapasiti dan kemahiran ditunjukkan baik untuk pasukan. Ahad ini kami ada satu lagi perlawanan.”

Arsenal dikritik hebat selepas membenarkan Watford bangkit mengikat keputusan dengan lawan meledak 31 percubaan ke gawang mereka di Vicarage Road.

Bagaimanapun, Emery berkata Arsenal tetap kekal dengan strategi menentang Frankfurt di tempat lawan tetapi menegaskan mereka perlu perbaiki persembahan dan mengurangkan kesilapan seperti ketika menentang Watford.

"Analisis pertama kami ialah bagaimana untuk meningkatkan prestasi dan memulihkan kembali keyakinan dan menguasai perlawanan,” kata Emery.

Frankfurt mara ke separuh akhir musim lalu sebelum ditewaskan Chelsea dan Emery yang menjulang trofi Liga Europa tiga kali bersama Sevilla tetapi tewas pada final tahun lalu berkata dia memburu cabaran baharu musim ini.

"Kami menjangkakan nasib lebih baik musim ini selepas tewas pada final musim lalu. Ini cabaran baharu buat kami.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 12:18 PM