BEREGU lelaki negara, Goh V Shem bersama Tan Wee Kiong. FOTO arkib NSTP
Ferzalfie Fauzi


DUA gandingan Denmark terkulai di tangan beregu lelaki negara yang gah meneruskan cabaran mereka pada pusingan kedua Terbuka China hari ini.

Dalam aksi yang penuh dramatik itu, gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, berjaya menumpaskan lawan masing-masing di Pusat Sukan Olimpik Beijing untuk mara ke suku akhir.

V Shem-Wee Kiong yang muncul juara Terbuka Taiwan baru-baru ini berjaya menumpaskan Mathias Boe-Mads Conrad Petersen 21-13, 22-24, 27-25.

Yew Sin-Ee Yi pula berjaya mengetepikan pilihan kelapan, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-18, 14-21, 25-23.

Menanti V Shem-Wee Kiong di suku akhir ialah pilihan utama dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo yang sebelum itu menumpaskan Choi Solgyu- Seo Seung Jae (Korea Selatan) 22-20, 18-21, 23-21.

Turut mara ke suku akhir ialah beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang mengalahkan pilihan kelapan dari England, Marcus Ellis-Lauren Smith 18-21, 21-17, 22-20.

Mereka akan berdepan musuh tradisi dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Tearattanachai. Dechapol-Sapsiree yang mara selepas menumbangkan gandingan Jerman, Mark Lamsfuss-Isabel Herttrich 19-21, 21-10, 21-11.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 8:19 PM