POCHETTINO tak puas hati dengan persembahan keseluruhan Spurs. - FOTO EPA
Agensi

PENGURUS Tottenham, Mauricio Pochettino mengakui pasukannya perlu memperbaiki prestasi dan mengelak kesilapan selepas dua kali membenarkan lawan bangkit daripada ketinggalan dua gol dalam tiga perlawanan.

Ketika menentang Olympiacos dalam aksi Liga Juara Juara semalam, Spurs mendahului 2-0 hasil jaringan Harry Kane dan Lucas Moura di Athens tetapi tuan rumah berjaya mengikat keputusan 2-2.

Sebelum itu, Spurs turut berdepan masalah sama ketika menentang pencabar Liga Perdana, Arsenal yang akhirnya terpaksa berkongsi satu mata ketika mereka mendahului lawan 2-0.

Bercakap kepada wartawan menjelang aksi menentang Leicester di Stadium King Power malam esok, Pochettino berkata: “Kami perlu perbaiki banyak aspek dalam situasi seperti ini. Mendahului 2-0 ketika menentang Arsenal dan Olympiakos, kami tak bercakap mengenai kualiti, kami bercakap mengenai cara mengendalikan dua situasi ini dengan lebih baik.

"Kesilapan perlu dielakkan di samping peningkatan prestasi dan saya fikir semua pemain turut mempunyai pendapat sama jika mahu menjadi pencabar utama,” kata Pochettino awal pagi tadi.

Harry Kane pula menganggap pasukannya masih kurang matang yang sepatutnya sudah menunjukkan kemajuan sepanjang lima tahun Pochettino mengendalikan kelab itu.

"Kami bukan muda lagi dan bukan tiada pengalaman,” kata kapten England itu. “Kami sudah beraksi dalam perlawanan besar untuk negara dan kelab.”

"Saya dapat lihat mengapa pengurus kecewa kerana dia sudah ada lama di sini dan kami pula masih mengulangi kesilapan yang sama.”

Spurs berkunjung ke Leicester malam esok dengan tujuh mata di belakang pendahulu Liga Perdana, Liverpool selepas hanya menang dua daripada lima aksi liga musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 10:06 AM